"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan. "
Amalan doa dari Nabi Musa disebut didalam al-quran yang membawa erti yang mendalam dalam kehidupan seharian kita sehingga ke akhir hayat. Insyaallah dengan amalan doa ini akan permudahkan urusan kita di dunia dan akhirat kelak.
JANJI ALLAH ITU PASTI
Inilah janji Allah SWT yang bersifat pasti. Rezeki dan kenikmatan akan sampai kepada mereka yang menabur bakti. Teringat kepada kata-kata seorang ulama besar Kedah, al-Marhum Tuan Guru Ahmad Osman.“Berbudi kepada tanah pasti takkan rugi.”
Namun, apakah semudah itu sahaja atau ada lagi rahsianya. Ramai sahaja yang menabur budi pada tanah pertiwi namun hasilnya mengecewakan hati. Sudah tentu kisah dalam hadis tersebut boleh dijadikan inspirasi memugar solusi. Melihat menerusi kaca mata kebendaan pasti soal infaq, sedekah dan zakat akan dipinggirkan. Bagaimana mahu kaya jika tidak menyimpan dan menabung segala harta? Namun, syariat Ilahi menawarkan bukan sekadar teori, namun realiti pertumbuhan harta yang lebih bermakna dan bererti.
Lihat sahaja kehidupan pekebun tadi. Tanpa daya mahupun upaya. Di tengah-tengah ketandusan tanah Arab diturunkan hujan yang penuh istimewa dengan penuh keajaiban untuknya. Lantas ditakung airnya oleh batu-batu dan akhirnya membentuk aliran air sampai ke kebun. Renungkan, jika ‘hujan’ sekalipun mampu diutuskan secara khusus di tanah gersang, bayangkan sumber-sumber rezeki yang lebih ‘mudah’ dalam dunia kemewahan penuh kecanggihan pada hari ini! Ya, rezeki tak pernah salah alamat. Cuma seringkali manusia alpa mengabaikan takwa dan usaha. Akhirnya yang sampai ke pintu rumah bukanlah laba atau rezeki tetapi sengsara dan juga rugi.
TAKWA DAN PERANCANGAN
Dalam merealisasikan kehendak dan impian untuk mencari rezeki serta kekayaan, pelbagai rencana, pelan tindakan, konsep dan teori pasti akan diusahakan. Namakan apa jua tindakan bermula dari bekerja lebih masa, mengorbankan cuti, membuat perniagaan sampingan hinggalah ke strategi pemasaran, semuanya dilakukan dengan tekun dan gigih. Semuanya tersisip dalam perancangan. Minda ligat mencari jalan. Kudrat dan keringat giat diperah. Namun, dalam semua itu masih ramai yang terlupa merencana ‘diari’ amalan dan agenda takwa. Dunia seolah-olah didahulukan dan akhirat dikemudiankan.
Inilah silap kita sebenarnya. Merancang untuk berjaya dan kaya tetapi melupakan Yang Maha Pentadbir dan Maha Kaya. Renungkan, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang membuat perancangan teliti untuk amalan seharian? Berapa ramai yang menyusun zikir-zikir dalam sehari untuk dilafazkan. Berapa ramai yang benar-benar memasukkan ‘peruntukan’ untuk Allah SWT dengan menyusun ketaatan bagi dilaksanakan? Muhasabah kembali perancangan takwa, di samping perancangan harta. Apapun jangan tersalah dalam mentafsirkan rezeki Allah. Belum tentu yang diluaskan rezekinya itu dimuliakan dan belum tentu juga disempitkan rezeki itu adalah tanda kehinaan.